Pecah masuk kafe, dua kanak-kanak diberkas





Dua kanak kanak berjaya ditangkap oleh polis ketika mereka bersembunyi dalam premis kedia awal pagi ini.

SIBU: Dua kanak-kanak lelaki tidak sempat melarikan diri bersama barangan curi apabila diberkas dalam satu kejadian pecah masuk sebuah kafe di Jalan Kampung Dato, hari ini.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, dua suspek bawah umur masing-masing berusia 10 dan 11 tahun dicekup ketika bersembunyi di dalam sebuah bilik dalam premis tersebut.

"Pasukan polis yang membuat pemeriksaan menyeluruh bersama dengan pemilik premis telah menjumpai dua orang suspek yang sedang bersembunyi di sebuah bilik fail sekitar 1.30 pagi hari ini," katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu pemilik premis, 51, menerima panggilan daripada seorang pengawal keselamatan sebuah bank berhampiran memberitahu ada ternampak kelibat orang memecah masuk kafe tersebut.

"Dia kemudian menghubungi polis untuk bantuan selepas mendapati roller shutter berada dalam keadaan terbuka sedikit.
Katanya, suspek dipercayai memasuki premis kedai dengan cara mengumpil pintu pagar berkenaan.

"Pemeriksaan di dalam premis mendapati bahawa bahagian laci dalam keadaan berselerak dan beberapa barangan didapati hilang termasuk satu unit iPad dan duit syiling berjumlah RM300," jelasnya.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati terdapat beberapa barangan yang siap dibungkus dalam plastik mengandungi minuman dalam tin dan makanan ringan gagal dibawa keluar oleh suspek. 

Mereka kemudiannya ditangkap dan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.
"Kedua-dua suspek direman selama empat hari di mahkamah pada pukul 10 pagi hari ini," katanya.

Menurut Stanley, sehingga kini, pihaknya juga berjaya menangkap empat suspek bawah umur lain berusia antara 10 hingga 16 tahun termasuk seorang kanak-kanak perempuan yang dipercayai terlibat sama dalam kes itu.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk kedai dan curi," tambahnya.-Utusan Borneo

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...