
SIBU: Kek beras bermotifkan ikan koi seberat 25 kilogram antara keistimewaan Tahun Baharu Cina di negeri ini, tahun ini.
Kek yang diberi gelaran ‘Nian Gao’ dalam masyarakat Tiong Hua, dipercayai membawa tuah kerana gelaran berkenaan membawa maksud ‘tahun yang lebih tinggi’.
Justeru, bagi kepercayaan masyarakat itu, sesiapa yang menjamah kek beras terbabit akan menerima tuah.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Wong Soon Koh, berkata kek beras itu adalah terbesar pernah dilihatnya dalam sejarah sambutan Tahun Baharu Cina di Sarawak.
“Dengan seberat 25 kilogram, kek itu bermotifkan sekumpulan ikan koi mengelilingi jongkong emas. Pemilik sebuah kilang menghantar sendiri kek berkenaan ke kediaman saya di Sibu, menggunakan lori miliknya, dari Batu Kawa, Kuching.
“Oleh kerana kek ini besar, ia tidak dapat dihantar menggunakan kapal terbang kerana kek ini perlu dikendalikan dengan cermat bagi mengelakkannya rosak. Saya sangat berterima kasih kepada beliau kerana menghantar sendiri kek ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, hari ini.
Kek berkenaan menjadi tumpuan pengunjung dengan ramai di antara mereka tidak melepaskan peluang bergambar dengan kek gergasi itu.
Kediaman Datuk Seri Wong turut dikunjungi Yang di-Pertua Negeri , Tun Abdul Taib Mahmud.
Sebelum kunjungan itu, Abdul Taib turut berkunjung ke rumah Pengerusi Hock Peng, Datuk Toh Chiew Hock, di Jalan Upper Lanang, di sini.-BH Online
No comments:
Post a Comment