Kampus Muzium Sarawak dibuka September 2020 Karim





KUCHING: Kampus Muzium Sarawak akan mula dibuka kepada orang ramai pada September 2020 walaupun projek itu sudah siap dan penyerahan kepada Kerajaan Sarawak oleh kontraktor akan dilakukan pada Mac depan.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pihak muzium memerlukan masa yang lama untuk memindahkan artifak-artifak bersejarah ke Kampus Muzium Sarawak dan memastikan ia dipamerkan dengan diskripsi yang tepat.

Beliau juga berkata Kampus Muzium Sarawak yang bakal menjadi muzium kedua terbesar di Asia Tenggara akan diberi nama baharu semasa pengisytiharan rasminya pada September 2020.

“Seperti anda semua maklum, ini akan menjadi kebanggaan semua rakyat Sarawak. Saya berulang kali mengatakan tidak akan menjual Sarawak seperti syurga beli-belah tetapi kita akan menjual Sarawak untuk warisan, persekitaran dan semua itu. Dalam aspek inilah muzium memainkan peranan penting.

“Sebab itulah saya percaya kerajaan negeri membina sebuah muzium yang sangat besar, kedua terbesar di Asia Tenggara,” katanya ketika merasmikan pembentangan isi kandungan pameran galeri-galeri kekal di dalam projek Kampus Muzium Sarawak.

Berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini semalam, pembentangan dipengerusikan pengurus isi kandungan projek pameran Yasmin Khalid Nicholas dan Pengarah Reka Bentuk GSM Projek Singapore Laura Miotto.

Berdasarkan laporan berita sebelum ini, projek berkenaan dianggarkan bernilai RM308 juta dan antara yang tercanggih serta terbaik di rantau ini apabila siap.

Menurut Karim lagi, pembinaan bangunan Kampus Muzium Sarawak berjalan lancar kecuali selama seminggu pada September tahun lalu disebabkan wabak denggi.

Beliau berharap artifak-artifak dari muzium terdahulu yang disimpan di pelbagai tempat di bandar raya ini disimpan dan dipelihara dengan baik.

Secara peribadi Karim berharap muzium baharu itu dapat dibuka lebih awal memandangkan muzium lama ketika ini juga ditutup untuk kerja pembinaan.

“Saya berharap pembukaan muzium ini (Kampus Muzium Sarawak) yang dijadual pada September 2020 tidak akan ditangguh lagi. Ini kerana saya merasakan ia destinasi yang mesti dikunjungi.

“Siapa sahaja yang datang ke Kuching sama ada pelancong domestik atau asing, inilah tempat yang  perlu dipromosikan oleh Lembaga Pelancongan Sarawak kepada mereka,” ujarnya.

Beliau juga berkata agak aneh untuk muzium lama ditutup setahun sebelum kerja pembinaan bermula kerana ia menghalang pelawat tempatan termasuk pelajar sekolah dan pelancong melihat sejarah Sarawak ketika muzium baharu sedang dalam proses pembinaan.

Dalam perkara berkaitan, beliau berharap apa jua struktur pengurusan diperkenalkan akan membawa muzium berkenaan dan pengurusan warisan kepada landasan lebih tinggi.

Beliau juga berharap sentimen politik, agama dan kaum dibangkitkan berhubung struktur tersebut.

“Jika saya ada mendengar perkara seperti ini, saya akan pastikan individu berkenaan disingkirkan. Saya mahu melihat muzium ini maju tanpa sebarang sentimen politik, agama dan kaum dalam pengurusannya.

“Saya akan melakukan apa sahaja jika perkara tidak sepatutnya berlaku. Jika mereka tidak suka saya, mereka boleh keluarkan saya daripada kementerian,” ujarnya.

Karim juga berikrar Kementeriannya akan membantu Jabatan Muzium dari segi perekrutan dan dana bagi melatih kakitangan muzium.

Hadir sama pada majlis itu, Pemangku Pengarah Jabatan Muzium Sarawak Suria Bujang dan wakil daripada pelbagai agensi dan persatuan.-Utusan Borneo

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...