BAU: Seorang lelaki dan wanita cedera di kaki dalam kebakaran melibatkan kediaman mereka di Jalan Cakra di Kampung Serasot sekitar pukul 1 pagi, hari ini.
Mangsa yang masing-masing berusia 34 tahun dan 25 tahun itu cedera ketika menyelamatkan diri dalam kebakaran melibatkan dua buah rumah jenis separuh kekal dua tingkat itu.
Menurut Ketua Balai Bomba dan
Penyelamat (BBP) Bau, Ebby Hirwandy Sarbini pihaknya bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan untuk memadamkan kebakaran tersebut.
"Kedua-dua mangsa adalah anak dan menantu pemilik rumah dan mereka mengalami cedera di kaki ketika menyelamatkan diri.
“Mereka telah diberikan rawatan kecemasan di tempat kejadian sebelum dikejarkan ke Hospital Bau untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Difahamkan kedua-dua rumah yang terbakar mengalami kerosakkan kira-kira 80 peratus struktur bangunan.
"Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 4.15 pagi dan punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.
Sementara dalam kejadian berasingan, sebuah rumah di Taman Heng Guan, di sini berjaya diselamatkan daripada terbakar hasil kerjasama orang awam yang bertindak pantas memadamkan kebakaran dapur rumah tersebut sekitar jam 9.15 pagi tadi.
Menurut jurucakap Bomba, pihaknya hanya membuat penyejukan pada tong gas.
“Api berjaya dipadamkn orang awam dan kita hanya membuat penyejukkan pada tong gas serta mengasingkan bahan mudah terbakar dan membuat pengudaraan,” katanya.-Utusan Borneo
No comments:
Post a Comment