Dana kerajaan kepada semua parti politik - ERC



Pengerusi Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya, Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

PUTRAJAYA: Pembiayaan politik dan pilihan raya menjadi antara komponen sedang dikaji Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) bagi membolehkan parti politik mendapat bantuan dana daripada kerajaan.

Pengerusi ERC, Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman, berkata pihaknya sedang melihat aspek berkenaan secara serius termasuk menyediakan formula terbaik bagi pembiayaan oleh kerajaan kepada parti politik untuk terus cergas.

Beliau berkata, pembiayaan itu akan diberikan kerajaan secara adil kepada semua parti politik di negara ini.

“Menerusi pembiayaan politik dan pilihan raya, kita nak tentukan bahawa kerajaan akan membantu sedikit sebanyak keperluan kewangan kepada parti politik sebab dalam demokrasi, lagi banyak parti politik lagi baik.

“Sekarang kita ada kira-kira 50 parti politik, namun yang cergas mungkin dalam 10 saja, yang tak berfungsi mungkin sebab tidak ada dana ataupun tidak berkemampuan.

“Banyak kerajaan di negara maju beri bantuan kewangan kepada parti politik.

Jadi, kita sedang lihat aspek ini secara serius dan kita sedang sediakan formula yang baik bagi pembiayaan oleh kerajaan, dan ini akan dikawal badan yang kita tentukan dapat mengawalnya,” katanya pada sidang media ERC di sini, hari ini.

Ab Rashid berkata, laporan interim kajian ERC itu akan dibentangkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam tempoh tujuh bulan lagi selain turut dijadikan dokumen awam.

“Namun tidak semestinya apa yang ERC cadangkan nanti akan dilaksanakan, tapi kita berharap seberapa banyak yang kita cadangkan itu dapat dilaksanakan.

“Ini kerana tahun depan kita nak mula deraf undang-undang yang turut membabitkan satu kumpulan pakar perundangan.

“Apa yang dicadangkan dalam laporan interim ini juga akan didedahkan kepada umum supaya kita dapat tentukan bahawa demokrasi yang diamalkan negara ini sama standardnya dengan demokrasi di negara maju dan membangun serta diterima masyarakat dunia,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini ERC masih dalam proses perbincangan membabitkan lapan kluster dan 16 komponen bagi penambahbaikan sistem serta undang-undang pilihan raya di negara ini.

“Ia belum selesai semuanya, mungkin ada satu dua sudah selesai, misalnya pengurusan perjalanan pilihan raya yang mana kita sudah mulakan deraf, bermula daripada pembubaran, penamaan calon, kempen, mengundi, pengiraan undi, keputusan, petisyen dan sebagainya.

“Ini semua satu komponen yang besar dan kita dah mula nampak kerangkanya, komponen lain sedang diuruskan.

“Kita juga masih menjalankan sesi libat urus dengan pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO), parti politik dan orang ramai bagi membolehkan pandangan mereka turut diambil kira dalam kajian ini,” katanya

ERC yang ditubuhkan kerajaan pada 28 Ogos lalu dan dianggotai 20 ahli pelbagai latar belakang, diberi masa dua tahun untuk melakukan kajian penambahbaikan pilihan raya.BH Online

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...