BSH RM100 untuk individu bujang tidak mencukupi





KUCHING: Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 sebanyak RM100 untuk individu bujang tidak mencukupi berikutan kos sara hidup ketika ini agak tinggi.

Rata-rata individu bujang sama ada lelaki atau wanita yang ditemui semalam menyatakan perkara sama, namun mereka tetap bersyukur kerana ia dilihat ‘wang saku’ daripada kerajaan.

Vitcsy Michael Niod berkata, BSH bujang yang diluluskan kerajaan memanglah sesuatu yang bagus sebab objektif utamanya adalah untuk meringankan beban individu bujang berpendapatan rendah berikutan kos sara hidup yang tinggi ketika ini.

“Cuma, syarat-syarat kelayakan perlu diperhalusi supaya ia diberi kepada mereka yang benar-benar layak.

“Individu yang ada bukti pendapatan (slip gaji) memang mudah untuk dikenal pasti sama ada layak atau tidak (menerima BSH) tetapi mereka yang bekerja sendiri atau mungkin datang daripada keluarga yang senang, kalau mereka tidak jujur, mereka boleh menipu dan memanipulasi pendapatan mereka dalam borang permohonan,” katanya.

Justeru katanya, perlu ada mekanisme yang ketat dalam menentukan siapa yang benar-benar layak mendapatnya.

“Kalau individu itu bujang, tidak bekerja tetapi datang daripada keluarga orang berada atau berkemampuan, saya rasa adalah tidak adil dia diberi.

“Secara umumnya, kalau ikut motif pemberian BHS, memang ia sesuatu yang bagus dan digalakkan sebab sekurang-kurangnya dapat mengurangkan beban rakyat walaupun sedikit,” katanya.

Violet Robby, 27, yang bekerja dengan syarikat swasta dengan gaji bersih sekitar RM1,000 sebulan berkata BSH RM100 sememangnya tidak mencukupi kalau dibandingkan dengan kos sara hidup ketika ini.

“Jujur, RM100 memang tak cukup. Jumlah itu hanya sesuai untuk budak sekolah. Walaupun bujang, perbelanjaan kami juga tinggi terutama bagi yang bekerja menggunakan ken-deraan sendiri.

“Kita tidak ada pilihan dengan sistem pengangkutan awam di sini, masih tidak banyak membantu,” katanya sambil menambah di bawah kerajaan terdahulu bantuan sama di bawah Bantuan Rakyat 1Malaysia, dia mendapat RM450 dan ia banyak membantu dalam perbelanjaan harian.

Pipil Collin, 24, juga berpendapat sedemikian, namun tetap bersyukur kerana mendapat bantuan daripada kerajaan walaupun tidak seberapa.

“Memang RM100 itu tidak cukup dan sedikit berbanding jumlah yang diterima sebelum ini tetapi kita menerima dengan hati terbuka,” ujarnya ringkas.

Muhamad Fuad Ramli, 23, juga mengatakan jumlah yang diberikan kali ini sekadar wang saku.

“Bagi saya BSH RM100 ini hanyalah wang saku. Jumlah itu sangat sedikit berbanding sebelum ini. Bagaimanapun terima kasih kepada kerajaan kerana beri bantuan seperti ini,” katanya.

Shafeenaz Shein Sahruzzami, 27, berkata, RM100 kali ini tidak berbaloi berbanding RM450 yang diberikan di bawah BR1M sebelum ini, justeru memohon atau tidak bukan isu baginya.

“Harga barang ketika ini melambung naik dan berapa banyak dapat kita beli dengan RM100? Saya berharap kerajaan mengkajinya semula

“Memberi RM100 kepada individu bujang dewasa seperti wang saku kepada budak sekolah untuk elaun bulanan mereka,” kata Shafeenaz.-Utusan Borneo

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...