Bersatu Ke Sabah, tanda Bersatu gagal di Sarawak?



Selepas pengumuman oleh  Tun Mahathir Mohamad selaku Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk bertapak di Sabah hal ini membawa kepada pelbagai tafsiran politik.  Sebelum pilihan raya umum ke-14, Tun Mahathir pernah menyatakan bahawa Bersatu tidak akan bertapak di Sabah. Ia juga sering diulang-ulang bahawa terdapat perjanjian lisan di antara
Mahathir dan Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal.

Namun apabila gentleman agreement  ini dilanggar maka, ini  bertentangan dengan hasrat Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal, kepimpinan Bersatu dan akar umbi ahli Warisan di Negeri Di Bawah Bayu.
Ternyata Mahathir mempunyai perancangan strategik politik  untuk meluaskan sayapnya dengan lebih jauh untuk membawa parti Bersatu di Sabah.
Sebelum PRU ke-14,  Mahathir pernah menyatakan bahawa tidak akan memasuki ke Sabah dan membiarkan parti Warisan dan sekutu yang sedia ada untuk terus bertapak di Sabah. Malah, Shafie Apdal sering mengulangkan akan ketidakperluan Bersatu ke Sabah sebelum ini. Desakan ini tidak berjaya  dan Mahathir terus memuktamadkan Bersatu tetap ke Sabah.

Parti Warisan sedar sebahagian besar ahli-ahli UMNO tidak akan mahu menyertai parti Warisan kerana parti Warisan yang menewaskan UMNO dan BN di Sabah. Penerimaan  Warisan terhadap pemimpin UMNO Sabah juga hambar kerana mereka banyak mengkritik dan memperlekeh parti Warisan ketika kempen PRU lepas.

Dari segi jangka panjang politik bumiputera Islam di Sabah akan berpecah dua, iaitu sebahagian menyokong Warisan dan sebahagian lagi akan menyokong parti Bersatu.  Lama-kelamaan apabila parti Bersatu semakin kuat, maka tidak mustahil kepimpinan Bersatu Sabah akan menjadi ancaman besar kepada kepimpinan kerajaan negeri di Sabah.  Tidak mustahil, pemimpin Bersatu akan menjadi Ketua Menteri Sabah dan memegang jawatan strategik di Sabah. Inilah kebimbangan yang sudah lama wujud dalam kalangan pimpinan parti Warisan.

Bersatu menegaskan bahawa tidak akan mengambil alih parti Warisan. Namun ini memberikan persaingan untuk mendapatkan ahli baharu. Sebelum bertapak dengan rasmi, ahli Bersatu sudah mendapat 100 000 keahlian dan  ini merupakan satu jumlah yang besar dan drastik serta memaparkan bahawa terdapat pihak di Sabah yang mahukan Bersatu bertapak di Sabah. Sedangkan ahli Bersatu di Sarawak tidak ramai walaupun sudah bertapak di Sarawak.

Jelas bahawa sambutan Bersatu di Sarawak agak hambar berbanding dengan sambutan Bersatu di Sabah. Hal ini berlaku disebabkan oleh faktor ketidakadaan parti UMNO di Sarawak. GPS pula khususnya parti PBB masih dianggap kuat dan tidak mampu disaingi oleh Bersatu.  Di Sabah, UMNO sudah bertapak lama. Mana-mana ahli UMNO Sabah lebih selesa bersama Bersatu kerana sebahagian besar kepimpinan Bersatu di Malaysia kebanyakannya terdiri daripada bekas pemimpin Umno.

Tambahan pula, Bersatu kini banyak memegang jawatan strategik di peringkat nasional. Jawatan perdana menteri, menteri dalam negeri, menteri pembangunan luar bandar, menteri pendidikan, menteri keusahawanan kesemuanya diisi oleh Bersatu walaupun pada PRU lepas parti tersebut hanya menang 13 kerusi. Apabila Bersatu menguasai kerajaan di Putrajaya banyak manfaat kepada penduduk negeri Sabah.

Ternyata keputusan Tun Dr Mahathir untuk melebarkan sayap ke Sabah lebih menjaga kepentingan dan menjaga survival Bersatu itu sendiri supaya lebih ramai ahli parlimen dalam Bersatu. Maka mereka cuba nak setanding dengan parti lain khususnya PKR dan DAP.  Sudah pasti parti komponen Pakatan Harapan khususnya DAP dan PKR akan terus melahirkan rasa tidak setuju dan ketidakpuasanhati mereka.

Namun, keputusan ini nampaknya adalah keputusan Pengerusi PH yang sudah membuat keputusan terlebih dahulu.

Dengan perkembangan situasi politik terbaru ini dijangka akan mewujudkan hubungan dingin  bukan sahaja antara Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Pakatan Harapan (PH), namun berlaku juga perang dingin dalaman dalam komponen Pakatan Harapan khususnya DAP dan PKR. Hal ini kerana ia pasti memberi saingan jumlah kerusi kepada parti Warisan, DAP dan PKR.
-SarawakVoice
Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga kolumnis di Sin Chew Daily dan Malaysian Insight.

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...