Kerajaan pusat berhutang berbilion kepada Sarawak 





Wan Junaidi berucap pada Majlis Penyerahan Sumbangan Bantuan Kecemasan dan Geran MRP Parlimen Santubong di Kuching hari ini.

KUCHING: Kerajaan Pusat berhutang berbilion kepada Sarawak dari segi peruntukan untuk pembangunan dan pentadbiran seperti yang dijanjikan di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan Malaysia. 

Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata pada tahun 1960 an selepas merdeka, sejumlah RM4 juta setahun diagihkan kepada Sarawak bagi tujuan tersebut dan digandakan selepas semakan dibuat setiap lima tahun sekali. 

“Mengikut perlembagaan, setiap lima tahun sekali peruntukan ini mesti disemak semula tetapi kali akhir semakan dibuat adalah pada tahun 1969. 

“Mengikut kajian Kerajaan Sarawak, sekarang ini peruntukan bagi tujuan pembangunan dan pentadbiran Sarawak daripada kerajaan pusat meningkat sebanyak 119 peratus. 

“Jika dikira pengeluaran minyak kita dan penggunaannya untuk pembangunan, bayangkan berapa bilion pusat berhutang dengan kita,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Sumbangan Bantuan Kecemasan dan Geran MRP Parlimen Santubong peringkat N.4 Pantai Damai hari ini di Pusat Khidmat Parlimen Santubong. 

Tambah Wan Junaidi, kerajaan pusat cuba kelentong rakyat Sarawak dengan mengatakan Sarawak mempunyai tunggakan hutang yang perlu dibayar kepada kerajaan pusat secara berkala. 

Pada hal menurut Wan Junaidi, kerajaan pusat sendiri mempunyai timbunan hutang yang perlu dibayar kepada Sarawak seperti yang dijanjikan dalam Perlembagaan Malaysia. 

Malah katanya kerajaan pusat turut gagal melunaskan kerugian yang perlu dibayar kepada Sarawak kesan daripada menandatangani Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) 1985. 

“Kita sebagai rakyat Sarawak perlu tahu perkara ini dan sebab itu Pakatan Harapan (PH) bersungguh untuk menawan negeri ini. 

“Jadi, pertahankan Sarawak daripada PH dan jangan menangis apabila kalah nanti,” katanya.-UtusanBorneo

Enam pasukan bola sepak bertempur rebut Piala Ketua Polis Dalat




DALAT: Sebanyak enam pasukan bola sepak jemputan akan berebut piala Pertandingan Bola Sepak Jemputan Piala Ketua Polis Daerah Dalat 2019 yang akan dilangsungkan pada 6 dan 7 April ini.
Padang Mesra MDDM Mukah akan menjadi venue pertandingan tersebut.

Kumpulan A dihuni oleh pasukan Sokanjaya, RMPD dan Edunited. Manakala Kumpulan B disertai oleh Rando, IPDM FC dan Mukah Medic FT.

Dua pasukan teratas bagi setiap kumpulan akan layak ke perlawanan separuh akhir bagi menempah tiket ke final.

Menurut Pengerusi Pengelola, Inspektor Khairul Anuar, pertandingan tersebut dianjurkan sebagai salah satu aktiviti Sambutan Hari Polis ke 212 disamping mengeratkan silaturahim melalui sukan bola sepak selaras dengan tema, “Polis Dan Masyarakat Berpisah Tiada”.

Dijangka Yang Berhormat Yussibnosh Balo,
ADUN N57 Tellian akan hadir merasmikan majlis penutupan pertandingan tersebut kelak.

Pertandingan julung kali ini dianjurkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Dalat dan Pertubuhan Belia Parlimen Mukah.-SV

PRK DUN Rantau pertandingan empat penjuru




KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Datuk Seri Mohamad Hasan (Barisan Nasional), R Malar (Bebas), Mohd Nor Yassin (Bebas) dan Dr S Streram (Pakatan Harapan).

Aidil, Fasha sah jadi suami isteri




FASHA dan Aidil selamat bergelar isteri kepada aktor, Aidil Aziz dengan sekali lafaz. - Foto Ihsan IG

KUALA LUMPUR: Pelakon, Fasha Sandha, 35, selamat bergelar isteri kepada aktor, Aidil Aziz dengan sekali lafaz.

Pasangan selebriti berkenaan difahamkan bernikah di kampung halaman aktres itu di Perlis, sebentar tadi.

Majlis berkenaan turut dikongsi Instagram TV3 Malaysia.

"Alhamdulillah dengan sekali lafaz @itsaidilaziz @fashasandha sah bergelar suami isteri.

"Semoga berbahagia sampai akhir hayat #aidilfasha," tulis penjaga akaun laman sosial itu.


PELAKON Aidil Aziz ketika majlis akad nikah di Perlis. - Foto Ihsan IG

Majlis resepsi di sebelah keluarga lelaki dikatakan bakal berlangsung di Rembau, Negeri Sembilan, bulan depan.

Fasha dan Aidil, 30, bertunang pada 18 November tahun lalu.

Ia perkahwinan pertama buat Aidil dan kedua untuk Fasha. Bintang Anak Halal itu pernah berkahwin dengan ahli perniagaan, Rizal Ashram Ramli, pada 27 April 2012 dan bercerai pada 20 Januari 2016.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua anak, Putra Rayfal Ramli, 5 dan Putri Raysha Jemaima, 4.

Realme 3 Radiant Blue RM549 di Lazada


Realme 3 dengan pilihan warna Radiant Blue akan mula dijual pada 4 April di Lazada

KUALA LUMPUR 29 Mac - Realme Malaysia mengumumkan telefon pintar jenama Realme, Realme 3 dengan pilihan warna Radiant Blue akan mula dijual pada 4 April ini dalam pada harga promosi RM549 sebuah berbanding harga runcit biasa, RM599 sebuah.

Realme Malaysia dalam kenyataannya berkata, pembelian boleh dibuat menerusi platform beli-belah dalam talian, Lazada.

Katanya, Realme 3 yang dilancarkan untuk pasaran tempatan pada minggu lalu menawarkan paparan skrin dewdrop bersaiz 6.22 inci berdefinisi tinggi (HD) dengan nisbah skrin 88.3 peratus.

“Peranti ini dikuasakan pemprosesan MediaTek Helio P60 2.0GHz dan memiliki bateri berkapasiti 4,230 mAh. Kamera hadapannya sebesar 13 megapiksel (MP) dan dua kamera belakang 13MP dan 2MP.

“Kamera telefon ini didatangkan dengan mod potret, pengecaman latar, fokus pantas PDAF, HDR hibrid, AI Beautification, mod malam dan Chroma Boost. Peranti ini dioperasikan ColorOS 6.0 berasaskan Android 9 Pie,” katanya di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

MCMC AMBIL TINDAKAN 2,823 AKAUN MENYAMAR DI MEDIA SOSIAL


KUALA LUMPUR, 29 Mac : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)  mengambil tindakan ke atas 2,823 akaun media sosial yang terlibat aktiviti penyamaran dari 2018 hingga pertengahan bulan ini, dengan 80 peratus daripadanya telah dipadamkan selaras dengan terma dan syarat platform masing-masing.
 
Ketua Pegawai Sektor Pematuhan MCMC Zulkarnain Mohd Yasin berkata langkah itu bertujuan melindungi pengguna daripada aktiviti penyamaran oleh pihak yang tidak bertanggungjawab di media sosial.
 
“Kesemua tindakan ini diambil susulan aduan orang ramai. Tindakan tegas boleh diambil ke atas pihak yang melakukan kesalahan berpandukan kepada peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya dalam kenyataan hari ini.
 
Selain penutupan akaun dengan kerjasama pihak penyedia platform media sosial, Zulkarnain berkata  pendekatan lain yang diambil adalah tindakan penguatkuasaan dan kempen advokasi.
 
Beliau menggesa pengguna yang menjadi mangsa supaya membuat laporan secara terus kepada pihak penyedia platform media sosial atau MCMC.
 
Katanya lagi, MCMC melaksanakan program seperti Klik Dengan Bijak (KDB) untuk meningkatkan kesedaran pengguna mengenai kepentingan penggunaan internet secara berhemah.  Program itu telah menjangkau lebih lima juta audiens sejak diperkenalkan pada 2012.
 
Menurut kenyataan itu, tahap penggunaan internet dalam kalangan rakyat adalah tinggi iaitu 28.7 juta orang, dengan memetik sumber daripada Kajian Pengguna Internet 2018 MCMC.

7 produk ubat darah tinggi diarah tarik balik


PIHAK Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) menggantung pendaftaran tujuh produk ubatan yang dikesan mengandungi bahan aktif losartan yang dikesan boleh menyebabkan kanser, bermula 7 Mac lalu.


Tujuh produk itu ialah LOSAGEN 50 (Losartan Potassium Tablets 50mg), LOSAGEN 100 (Losartan Potassium Tablets 100 Mg), Losartas 50mg Tablets (Losartan Potassium Tablets 50mg) dan Losartas 100mgc Tablets (Losartan Potassium Tablets 100 Mg).

Selain itu, turut digantung pendaftaran ialah produkTOZAAR PLUS LS 50/12.5mg Tablet (Losartan Potassium/ Hydrochlorothiazide), Tozaar 50mg Tablet (Losartan Potassium Tablets 50mg) dan Tozaar Tablets 100mg (Losartan Potassium Tablets 100 Mg).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerusi satu kenyataan, hari ini berkata, semua syarikat berkenaan sudah diarahkan untuk menarik balik produk berkenaan dari pasaran tempatan dengan kadar segera bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini berlaku.

“Pada masa ini, produk berkenaan sudah dikeluarkan daripada pasaran Malaysia kerana dikesan mengandungi losartan dengan sumber bahan aktif Hetero Labs Limited, India yang digantung status pendaftaran di Malaysia pada 7 Mac lalu,” katanya.

Dr Noor Hisham menjelaskan, tindakan tegas itu diambil selepas Pihak Berkuasa Sains Kesihatan Singapura (HSA) mengeluarkan notis panggil balik ke atas tiga produk yang mengandungi losartan daripada sumber bahan aktif dikeluarkan syarikat Hetero Labs Limited, India kerana kehadiran impuriti N-nitroso-Nmethyl-4-aminobutyric acid (NMBA)

“Impuriti ini berkemungkinan boleh menyebabkan kanser kepada pengguna dalam jangka masa panjang. Tablet losartan adalah ubat yang digunakan dalam rawatan tekanan darah tinggi,” katanya.

Kementerian Kesihatan menasihati pengguna supaya menggunakan produk kesihatan yang berdaftar PKBD dan semakan status pendaftaran sesuatu produk kesihatan boleh dibuat melalui laman sesawang Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di www.npra.gov.my atau melalui aplikasi NPRA Product Status yang boleh dimuat turun di Google Play.

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...