Sarawak, Putrajaya tidak berbalah berhubung bayaran pinjaman kontra sekolah daif


Manyin (empat kanan) merakamkan gambar bersama penerima baucer dari SK Tepoi. Turut kelihatan Timbalan Pengarah Yayasan Sarawak, Ellen Maniam Enggang (tiga kanan).
Manyin (empat kanan) merakamkan gambar bersama penerima baucer dari SK Tepoi. Turut kelihatan Timbalan Pengarah Yayasan Sarawak, Ellen Maniam Enggang (tiga kanan).
TEBEDU: Tiada perbalahan antara Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan mengenai bayaran pinjaman kontra untuk memudahkan peruntukan dana bagi membaiki sekolah daif di negeri ini. 
Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Dato Sri Michael Manying Jawong berkata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah bersetuju untuk Kerajaan Sarawak membayar balik RM350 juta supaya jumlah yang sama dapat diperuntukan kepada kerajaan bagi membaiki dan membina semula sekolah tahun ini. 

Menegaskan lebih baik perkara ini diselesaikan menerusi mesyuarat rasmi daripada menyebarkan menerusi media, Manyin mendedahkan bahawa pegawai dari kementeriannya diiringi Kementerian Kewangan Negeri mengadakan pertemuan minggu lepas di Putrajaya dengan pegawai dari Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan bagi memuktamadkan butiran peruntukan. 
“Ia hampir dimuktamadkan sekarang. Mudah-mudahan pembayaran RM350 juta dibuat tepat pada masanya tahun ini kerana peruntukan ini perlu melalui Parlimen dahulu untuk kelulusan. 
“Kerajaan Sarawak telah meluluskan jumlah yang dibayar kontra dengan pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan dan Ketua Menteri telah menulis kepada Menteri Kewangan dan beliau bersetuju ke atas terma dan syaratnya. 
“Peruntukan bagi membaiki sekolah daif ini sudah tentu harus melebihi bajet tahunan daripada Kerajaan Persekutuan,” ujar Manyin. 

Manyin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan penyampaian baucar seragam sekolah Yayasan Sarawak kepada 379 penerima dari dua sekolah menengah dan 24 sekolah rendah di sini hari ini. 
Isnin lepas, Menteri Kewangan Lim Guan Eng menerusi kenyataan media menegaskan bahawa peruntukan RM350 juta hanya dapat dicapai apabila Kerajaan Sarawak membayar balik pinjaman pada jumlah yang sama kepada Kerajaan Persekutuan. 
Menurut Lim, jumlah RM350 juta adalah fasa pertama bayaran pinjaman berjumlah RM1 bilion daripada Sarawak. 
Lim dalam kenyataan medianya juga berkata secara prinsipal Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk menerima bayaran pinjaman RM1 bilion oleh Sarawak untuk digunakan bagi membaiki sekolah tertakluk kepada mekanisma yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak. 
Manyin berkata sebaik diluluskan, sebahagian daripada peruntukan RM350 juta ini akan digunakan untuk membina sekolah berpusat di kawasan luar bandar dengan kemudahan yang lebih baik dan persekitaran pembelajaran yang kondusif. 
Sekolah pertama adalah SK Gahat Mawang di daerah Tebedu dan dua lagi sekolah berpusat yang dicadangkan di Betong.-UtusanBorneo

Chong persoal kelewatan kerajaan Sarawak bayar RM350 juta


CHONG - Gambar fail Bernama
CHONG - Gambar fail Bernama
KUCHING: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak Chong Chieng Jen mempersoal kelewatan kerajaan Sarawak dalam pembayaran semula RM350 juta hutang kepada kerajaan persekutuan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu menegaskan, kerajaan Sarawak yang mendakwa mempunyai rizab sebanyak RM31 bilion pasti tidak mempunyai masalah untuk mengeluarkan RM350 juta pada bila-bila masa sahaja.
Namun, katanya, kerajaan Sarawak dilihat melambatkan pembayaran hutang RM350 juta itu.
"Mengapa kerajaan negeri di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) melewatkan pembayaran? Adakah kerajaan GPS mempunyai masalah aliran tunai untuk mengeluarkan jumlah RM350 juta ini?
"Selepas banyak publisiti yang dibuat oleh kerajaan GPS bahawa ia akan mengeluarkan RM1 bilion untuk pembayaran pertama dan kemudiannya kerajaan persekutuan akan menggunakan wang tersebut untuk diperuntukan bagi naik taraf sekolah daif di Sarawak, kerajaan negeri kini hanya bercakap tentang pembayaran semula RM350 juta berbanding RM1 bilion yang dipersetujui sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Chong, walaupun hanya RM350 juta, wang itu tidak dapat diberikan.
Tegas beliau, jika GPS menghadapi kesukaran untuk mendapatkan wang tersebut, maka benarlah apa yang dikatakan Menteri Kewangan Lim Guan Eng sebulan lalu mengenai kemungkinan Sarawak akan bankrap jika kerajaan GPS meneruskan cara membelanjakan wang negeri.
"Adakah kerajaan negeri GPS mempunyai masalah aliran tunai sehinggakan ia tidak dapat membuat bayaran balik RM350 juta hutang kepada kerajaan persekutuan untuk memudahkan peruntukan bagi membaik semula sekolah daif di Sarawak?," soalnya lagi.
Sehubungan itu, beliau yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak menggesa kerajaan GPS mempercepatkan pembayaran semula hutang sebanyak RM350 juta supaya sekolah luar bandar daif boleh mendapatkan peruntukan tanpa dilengahkan lagi.
Jelasnya, ini adalah peluang untuk kerajaan GPS menebus dosa mereka yang dilakukan selama 56 tahun lalu.
Dalam pada itu, Chong mendakwa kecuaian dan kegagalan menjalankan tugas selama 56 tahun oleh GPS (dahulu Barisan Nasional Sarawak) telah menyebabkan Sarawak mempunyai 1,000 sekolah daif.
Tambahnya, hanya selepas PH mengambil alih kerajaan persekutuan tahun lepas, barulah GPS mula membuat tuntutan untuk penyelesaian segera masalah tersebut dan meminta kerajaan PH menyelesaikan masalah selama 56 tahun dalam tempoh satu atau dua tahun.
"Ia adalah mustahil bagi kerajaan PH menyelesaikan masalah ini dalam masa singkat terutamanya mengambil kira hutang trilion ringgit yang diwarisi kerajaan PH daripada kerajaan BN yang dianggotai GPS ketika itu.
"Atas permintaan kerajaan negeri, ia telah dipersetujui agar kerajaan negeri membayar balik hutang RM1 bilion kepada kerajaan persekutuan dan bayaran balik RM1 bilion ini akan diperuntukkan untuk membaik pulih sekolah daif di Sarawak," jelasnya.
Menurutnya lagi, peruntukan tambahan ini merupakan peruntukan khas oleh kerajaan persekutuan sebagai tambahan kepada peruntukan operasi dan pembangunan tahunan bagi Sarawak.
"Sebenarnya, ia adalah luar biasa bagi penghutang untuk memberitahu pemuitang bahawa jika saya membayar anda wang, anda mesti menggunakan wang yang saya bayar itu untuk kegunaan saya.
"Inilah apa yang sebenarnya dituntut oleh kerajaan Sarawak. Ia sepatutnya membayar hutang yang dipinjamkan kepada kerajaan persekutuan, namun ia mengenakan syarat agar wang yang dibayarkan kepada kerajaan persekutuan mesti disalurkan untuk kegunaan Sarawak," jelasnya.
Katanya lagi, walaupun syarat pembayaran balik sedemikian luar biasa dan tidak munasabah, kerajaan persekutuan akur demi kepentingan pelajar Sarawak di sekolah daif ini.-UtusanBorneo

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...