Rafiq, Amy Kwan masing-masing dinobat Olahragawan, Olahragawati 2018

KUALA LUMPUR: Atlet tenpin boling, Muhammad Rafiq Ismail dinobatkan Olahragawan Kebangsaan pada majlis Anugerah Sukan Kebangsaan (ASN) 2018 di sini, sebentar tadi sekali gus menceriakan kem sukan berkenaan yang turut meraih dua lagi anugerah iaitu Pasukan Lelaki Kebangsaan dan Jurulatih Lelaki Kebangsaan.
Rafiq membawa pulang sebanyak RM20,000 manakala bagi kategori Pasukan Lelaki Kebangsaan dimenangi oleh Adrian Ang Hsien Loong-Tun Ameerul Luqman Al Hakeem Tun Hasnul Azam juga dengan jumlah hadiah sama.
Jurulatih Lelaki Kebangsaan pula dimenangi oleh Holloway Cheah bagi meraih sebanyak RM5,000 termasuk tiket penerbangan tajaan Malaysia Airlines Berhad.
Tahun lalu, Rafiq, 21, mencipta sejarah apabila menamatkan kemarau 39 tahun dengan membawa pulang pingat emas dalam acara perseorangan di Kejohanan Boling Dunia Lelaki di Hong Kong (2018), selepas menewaskan pemenang pingat emas 2014, Dan MacLelland dari Kanada dengan 217-204.
Kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas kategori lelaki dalam kejohanan itu ialah pada tahun 1979 di Manila, menerusi gandingan trio J B Koo, Allan Hooi dan Edward Lim.
Dalam majlis berprestij yang dihadiri tetamu kehormat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah itu, Rafiq menerima cabaran sengit daripada jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang, selain Mohd Nafiizwan Mohd Adnan (skuasy), Mohd Syarul Azman Mahen (bina badan) dan Mohd Fauzi Kaman Shah (pelayaran).
Mengulas mengenai kemenangannya itu, Rafiq berkata: "Saya bersyukur apabila tahun ini dapat memenangi gelaran Olahragawan kerana tahun ini adalah tahun kelima dicalonkan dan akhirnya tahun ini menang.
“Saya gembira dan berterima kasih kepada banyak pihak terutama keluarga yang banyak membantu saya selama ini.
"Kemenangan ini takkan berhenti begitu saja. Saya akan cuba sedaya upaya untuk bekerja lebih gigih bagi menaikkan nama negara Malaysia," katanya yang dijadual menyertai kejohanan Terbuka Malaysia bermula Jumaat ini.
Kali terakhir gelaran Olahragawan dimenangi sukan tenpin boling pada anugerah berprestij berkenaan adalah pada tahun 1984 menerusi Michael Chuah.
Sementara itu, gelaran Olahragawati Kebangsaan dimenangi oleh atlet gimrama, Amy Kwan Dict Weng selepas diberi cabaran sengit oleh empat lagi calon utama, S Sivasangari (skuasy), Siti Zalina Ahmad (boling padang), Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman (tenpin boling) dan Tan Li Lian (bina badan).
Gimnas negara berusia 24 tahun itu melakar kejutan di temasya Sukan Komanwel 2018 apabila menghadiahkan emas dalam acara riben dan membantu acara berpasukan meraih pingat perak.
"Saya seperti tak percaya kerana ada atlet (calon) lain juga handal. Buat masa ini, saya tak fikir lagi mengenai persaraan. Saya cuba sebaik mungkin untuk kembali menjalani latihan kerana saya baru saja menjalani pembedahan Disember lalu.
"Sekarang, sudah empat bulan dan saya akan cuba untuk kembali menjalani latihan tidak lama lagi dan terus memberi sumbangan kepada negara," katanya yang selepas ini mahu memberi tumpuan kepada temasya Sukan SEA di Filipina, November ini.
SENARAI PEMENANG:
Olahragawan Kebangsaan - Muhammad Rafiq Ismail (Tenpin boling)
Olahragawati Kebangsaan - Amy Kwan Dict Weng (Gimrama)
Olahragawan Paralimpik Kebangsaan - Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi (Para olahraga)
Olahragawati Paralimpik Kebangsaan - Siti Noor Iasah Mohd Ariffin ( Para olahraga)
Pasukan Lelaki Kebangsaan - Adrian Ang Hsien Loong, Tun Ameerul Luqman Al Hakeem Tun Hasnul Azam (Tenpin boling)
Pasukan Wanita Kebangsaan - Cheong Jun Hoong, Pandelela Rinong Pamg (Akuatik terjun)
Jurulatih Lelaki Kebangsaan - Holloway Cheah (Tenpin boling)
Jurulatih Wanita Kebangsaan - Tiada pemenang
Anugerah Tokoh Sukan - Tiada pemenang
Anugerah Kepimpinan Sukan - Datuk Sieh Kok Chi, Dr S Radha Krishnan (Persatuan Sukan Orang Buta Malaysia)
Anugerah Khas - Hanifah Yoong Yin Fah (ski air), Datuk Rahim Razali

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...