Projek Naik Taraf Waterfront Sri Aman Bernilai RM12 Juta Mengambil Masa 18 Bulan Untuk Disiapkan

SRI AMAN: Kawasan 'Waterfront' Sri Aman yang terkenal dengan Pesta Benak akan dinaik taraf menjadi lebih besar dan selesa serta mampu menampung lebih ramai pengguna pada Pesta Benak Sri Aman akan datang.

Menteri Muda Kesejahteraan dan Komuniti YB Datuk Francis Hardin Hollis berkata projek naik taraf yang bernilai RM12 juta ini hanya akan bermula selepas ini sebaik sahaja penyerahan tapak projek kepada kontraktor yang dilantik pada hari ini.

"Pagi ini kita telah menyaksikan taklimat dan video bagi Projek Naik Taraf Waterfront (Pesta Benak Site, Sri Aman).

"Selepas ini, penyerahan tapak projek Naik Taraf Waterfront (Pesta Benak Site, Sri Aman) kepada kontraktor yang telah dipilih. 

"Susulan daripada kerja-kerja naik taraf ini, gerai-gerai yang kini beroperasi di Tebingan Sungai Batang Lupar akan dipindahkan ke tapak Tamu Baru Sri Aman," katanya.

Beliau berkata demikian, semasa berucap selepas mendengar taklimat dan tayangan video di Majlis Penyerahan Tapak Projek Naik Taraf Waterfront (Pesta Benak Site, Sri Aman) yang diadakan di Perpustakaan Majlis Daerah Sri Aman (MDSA), hari ini.

Datuk Francis Hardin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang turut mencadangkan kepada Jabatan Tanah dan Survey (JTS) mengambil tindakan ke atas penduduk kawasan Sungai Stawang untuk diberikan penempatan baru.

"Mohon JTS mengambil tindakan kepada penduduk di kawasan Sungai Stawang dengan memberikan penempatan baru kerana lokasi tersebut akan dijadikan 'Pangkalan Ikan Bulu'," tambahnya. 

Mengenai pembangunan di kawasan Sri Aman, Datuk Francis Hardin menjelaskan dua projek mega kini sedang dalam pembinaan.

"Ketika ini Projek Penyambungan Medan Selera Sri Aman berjumlah RM5 juta dan Naik Taraf Dewan Suarah bernilai RM7 juta sedang dilaksanakan.

"Sementara, Jambatan Batang Lupar yang sebelum ini telah dibatalkan Kerajaan Persekutuan kini dalam cadangan untuk dibina oleh Kerajaan Sarawak," tambahnya. 

Terdahulu, Pengerusi MDSA Walikota Cr Richard Tawan Sedu berkata Projek Naik Taraf Waterfront (Pesta Benak Site, Sri Aman) ini akan dilaksanakan Syarikat Mexajati Sdn Bhd selepas berjaya dalam bidaannya.

"Tender projek ini telah dibuka pada 2 Januari lepas dan ditutup pada 21 Januari 2019, dan telah disertai 7 buah syarikat.

"Selepas tapisan tender dilakukan, Syarikat Mexajati Sdn Bhd telah berjaya dianugerahkan bagi Projek Naik Taraf Waterfront (Pesta Benak Site, Sri Aman) sepanjang 360 meter.

"Tempoh pelaksanaan projek ini bermula 23 April 2019 sehingga 24 Oktober 2020 iaitu selama (18 bulan)," katanya.

Permohonan Projek Naik Taraf Waterfront (Pesta Benak Site, Sri Aman) ini telah diumumkan semasa Perasmian Pesta Benar 2016 dan telah diluluskan pada 2017. 

Hadir sama wakil Residen Sri Aman Zainuddin, wakil Pegawai Daerah Sri Aman Azzry, Setiausaha MDSA Nelson Mujah Giri, Pengurus Dewan Suarah Sri Aman Kusa Jantan, Pengurus Syarikat MexaJati Sdn Bhd Marshella, Temenggong Samuel Lawin, Temenggong Kuek Aik Seng dan Ketua-ketua Masyarakat serta Ahli-ahli MDSA. 

Turut hadir pegawai-pegawai dari Kementerian Kewangan Sarawak (MOF), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Simpanan Nasional (BSN).



No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...