RM303,000 disalurkan kepada 606 keluarga terjejas banjir di Sarawak




Uggah pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pasca Nilai Bencana Banjir dan Persiapan Menghadapi Bencana Kemarau JPBN Sarawak di sini hari ini. Turut kelihatan Fatimah dan Ik Pahon.

KUCHING: Kerajaan telah menyalurkan bantuan wang ihsan sejumlah RM303,000 kepada 606 keluarga yang terjejas akibat bencana banjir yang melanda Sarawak dari 7 Januari hingga 7 Mac 2019.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata bantuan itu diberi berdasarkan permohonan diterima menerusi Pejabat Daerah di seluruh Sarawak.

Selain itu katanya Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) Negeri Sarawak turut menyalurkan RM17,914.36 bagi mengurus sembilan kes banjir dan RM6,900 bagi dua kes tanah runtuh di Limbang.

"Pagi ini adalah mesyuarat pasca nilai Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak mengenai laporan kerosakan keseluruhan akibat bencana banjir yang melanda Sarawak bermula 7 Januari hingga 7 Mac tahun ini.

"Tahun ini kita telah menubuhkan 10 pusat pemindahan sementara di lima bahagian iaitu Kuching, Samarahan, Betong, Sibu dan Bintulu yang menempatkan 852 mangsa dari 196 keluarga," katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Negeri, Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.

Uggah yang juga Pengerusi JPBN Sarawak berkata ketika bencana banjir, kejadian tanah runtuh turut berlaku mengakibatkan kerosakan harta benda dan kemudahan awam.

Beliau berkata kejadian tanah runtuh itu dibahagikan kepada dua iaitu melibatkan kediaman penduduk dan jalan raya.
Bagi kediaman penduduk katanya, 17 kes melibatkan enam bahagian Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sibu dan Kapit.

"Runtuhan tanah melibatkan jalan raya utama, JKR (Jabatan Kerja Raya) melaporkan tiga bahagian terjejas iaitu Bintulu, Miri dan Sarikei. Bagaimanapun tindakan pantas diambil oleh JKR dalam menangani masalah itu supaya jalan terbabit dapat digunakan semula dengan segera.

"Bagi laporan sekolah pula, sebanyak 38 sekolah terjejas akibat banjir di sembilan bahagian iaitu Kuching, Samarahan, Betong, Sarikei, Sibu, Kapit Bintulu, Miri dan Limbang melibatkan 3,671 murid, 517 guru dan 239 bukan guru," jelasnya.

Uggah berkata bencana banjir yang melanda Sarawak awal tahun ini turut menjejaskan tujuh fasiliti Klinik Kesihatan iaitu di Kuching, Serian, Sibu dan Bintulu.

Manakala untuk pertanian hanya satu bahagian terjejas melibatkan lima pekebun dari Daerah Kecil Debak dengan keluasan kebun 2.7 hektar dengan anggaran kerosakan RM6,600.

Hadir sama Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah, Setiausaha Tetap Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datu Ik Pahon Joyik serta ketua-ketua jabatan.-UtusanBorneo

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...