Pembangunan luar bandar Sarawak unik – Abdullah Saidol

BINTANGOR: Peruntukan khas yang disediakan Kerajaan Sarawak melalui Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) menjadikan program pembangunan luar bandar di negeri ini unik kerana menggunakan sepenuhnya peruntukan negeri.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat), Abdullah Saidol berkata, langkah proaktif itu dilakukan kerana proses kelulusan peruntukan pembangunan untuk projek kecil dan sederhana daripada Kerajaan Persekutuan adakalanya lambat dan tidak mencukupi.

Keadaan itu katanya, bertambah sukar selepas Pakatan Harapan (PH) mengambilalih pentadbiran Kerajaan Persekutuan kerana setakat ini belum nampak kesungguhan mereka membantu pembangunan luar bandar terutama di Sarawak.

“Malah banyak projek atau peruntukan yang telah diluluskan oleh pentadbiran persekutuan terdahulu telah dibatalkan oleh PH sejak mengambilalih Putrajaya. Justeru, kita amat menghargai jasa Allahyarham Tok Nan yang memperkenalkan langkah ini (RTP).

“Malah, semua wakil rakyat yang mewakili luar bandar mengakui RTP membantu menyegerakan pelaksanaan banyak projek keperluan asas di luar bandar, menaiktaraf jalan dalam kampung dan pembinaan dewan- dewan masyarakat yang baharu.

“Sarawak adalah satu-satunya negeri dalam Malaysia yang mempunyai program pembangunan luar bandar yang unik, menggunakan sepenuhnya peruntukan negeri,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.42 Semop berkata, selain RTP, peruntukan besar yang disediakan Sarawak dalam Belanjawan Negeri lepas membuktikan kesungguhan kerajaan untuk memperkasakan pembangunan luar bandar.

Sehubungan itu, katanya, kesungguhan dan keberanian Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang menyediakan peruntukan berkenaan harus mendapat sokongan dan disambut baik oleh semua anak Sarawak.

“Perbelanjaan peruntukan negeri yang besar juga selaras dengan usaha untuk menambah pendapatan negeri antara lain melalui perkenalan cukai lima peratus ke atas produk petroleum. Hak mengenakan cukai tersebut adalah hak Sarawak seperti yang termaktub dalam perlembagaan tetapi saya dengar ada seorang menteri PH di pucuk pimpinan persekutuan mempersoalkan hak tersebut.

“Saya tidak dapat membayangkan jika Sarawak ditadbir oleh PH, mungkin banyak lagi hak serta kepentingan Sarawak akan terhakis. Sebab itulah, setiap anak Sarawak harus mempunyai rasa tanggungjawab untuk mempertahankan hak serta kepentingan negeri,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberi jaminan akan terus memberi tumpuan terhadap usaha untuk menyediakan infrastruktur termasuk memartabatkan bidang pendidikan bagi meningkatkan taraf hidup penduduk di kawasan N.42 Semop.

“Saya mewakili rakyat N.42 Semop yang sebahagian besarnya pedalaman, tentunya saya menyedari keperluan utama kawasan ini adalah pembangunan infrastrutur asas.

Komitmen ini tidak akan terhenti sebaliknya tetap diteruskan sejajar dengan perjuangan kerajaan Sarawak yang kini memberi tumpuan khusus terhadap pembangunan luar bandar,” katanya.

Program yang dihadiri lebih 300 penduduk itu dianjurkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tanjung Bundong, Ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Tanjung Bundung dengan kerjasama PBB N.46 Meradong dan Saberkas Cawangan Meradong.

Pada majlis sama, beliau turut menghulurkan RM5,000 untuk pelaksanaan program Sekolah Tahun 2019 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)

Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Sian, sumbangan RM3,000 bagi penganjuran aktiviti PIBG dan sekolah tahun 2019 SK Tanjung Bundung dan RM3,000 untuk kem Motivasi Zon Sungai 2019 SK Sungai Selidap.

Beliau juga menyampaikan sumbangan baju T Gabungan Parti Sarawak (GPS) kepada PBB Ranting Tanjung Bundong.

Selain program itu, Abdullah turut merasmikan pertandingan gusti lengan anjuran Persatuan Gusti Lengan Bintangor dan program Penulisan Puisi di Surau Darul Ehsan.

Hadir sama, Pegawai Daerah Meradong, Badjuri Bidin, Setiausaha Politik Ketua Menteri, Faridah Osman dan pemimpin masyarakat setempat.-SwkVoice

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...