Singapura digesa henti hukuman mati warga Sarawak





Michael dijadual akan menjalani hukuman gantung pada Jumaat ini. - Gambar Pasukan Polis Singapura

KUCHING: Pertubuhan bukan kerajaan, Lawyers for Liberty (LFL) menyeru agar Singapura menghentikan hukuman mati yang dijadual akan dijalani oleh seorang warga Sarawak, Michael Garing di Kompleks Penjara Changi di Singapura pada Jumaat.

Menurut Penasihat LFL N.Surendran, tindakan untuk menghukum bunuh Michael hanya membudayakan keganasan dan tidak akan menjadikan rakyat Singapura lebih selamat dalam kehidupan seharian mereka.

"Kami mendesak Presiden Singapura untuk memberi ihsan dan meringankan hukuman Michael kepada penjara seumur hidup. Tidak terlambat untuk berbuat demikian.

"Kami juga ingin terus menggesa kerajaan Singapura untuk mengenakan moratorium (penangguhan) ke atas semua hukuman mati dan berusaha ke arah pemansuhan hukuman mati," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

Michael dari Kapit disabitkan dengan kesalahan membunuh pada 2015 oleh Mahkamah Tinggi Singapura dan Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan itu pada 2017.

Menurut Surendran, keluarga Michael sekadar diberi notis lapan hari untuk membuat persediaan bagi pengebumian.

"Keluarganya, yang berada di Sarawak, hanya diberi lapan hari notis hukuman gantung.

"Mereka, menerusi surat, diminta untuk membuat 'urusan pengebumian sewajarnya'," katanya. 

Michael dan seorang lagi warga Sarawak, Tony Imba merupakan sebahagian daripada anggota kumpulan yang merompak serta menyerang empat lelaki di Kallang, Singapura pada 29 Mei 2010.

Kejadian itu menyebabkan seorang lelaki maut dengan keretakan pada tengkorak, serta pelbagai kecederaan pada beberapa anggota badan. 

Tony dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup atas peranannya dalam rompakan tersebut.

Surendran berkata Michael hanya berusia 21 tahun apabila jenayah itu dilakukan dan meskipun perlu dihukum atas jenayah serius, dia juga wajar diberi peluang untuk pemulihan.

"Hukuman mati tidak pernah terbukti menjadi penghalang kepada jenayah yang serius," katanya lagi.-Utusan Borneo

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...